Amalan Untuk Pagar Rumah (Yang Betul)

Assalamualaikum kepada anda yang mengunjungi page ini. Anda yang singgah kesini pastinya sedang mencari amalan untuk pagar rumah bukan? Kenapa ingin mencari amalan untuk pagar rumah? Tidak lain tidak bukan kerana merasakan seperti ada gangguan di dalam rumah yang dihuni anda sekeluarga.

Untuk pengetahuan anda semua terdapat empat kemungkinan besar jika benar ada gangguan mistik di dalam sesebuah rumah atau bangunan.

  1. TEMPAT TINGGAL ASAL para jin yang mengganggu itu. Sebagai contoh, sebelum didirikan rumah, terdapat pohon besar, atau kolam yang menjadi tempat tinggal mereka di tanah itu. Kemudian semua diratakan untuk dibinakan rumah, maka mereka tetap akan tinggal disitu. Gangguan dari kes seperti ini biasanya akan terjadi sejak dari awal orang menghuni rumah tersebut lagi.
  2. RUMAH DITINGGALKAN KOSONG dalam tempoh yang agak lama. Maka para jin ini akan menjadikannya tempat untuk mereka menghuni.
  3. PENGHUNI YANG MEMBAWA masuk para jin itu sendiri. Samada melalui azimat yang digantung, barang pusaka berkhadam yang disimpan atau seumpamanya. Maka, rumah yang asalnya aman sahaja, menjadi seakan ada gangguan melalui sebab ini.
  4. MELALUI SIHIR yang dihantar. Gangguan juga ada yang berlaku melalui sihir yang dihantar seseorang. Maka penghuni rumah tersebut mula mengalami keanehan sepanjang berada dirumah, namun tidak jika di tempat lain.

Ciri-Ciri Rumah Yang Ada Gangguan

  • Penghuni sering ternampak kelibat. Malah, bukan seorang, tetapi hampir kesemua penghuni sudah mengalaminya.
  • Rumah terasa panas, dan suami isteri sering bertengkar dengan alasan yang remeh temeh sekalipun.
  • Terdapat bunyi-bunyi aneh yang tidak lazim, dan berlaku secara terus menerus.
  • Penghuni terkadang mengalami gangguan tidur seperti mimpi buruk atau terkejut semasa tidur.

Amalan “Pagar” Rumah

Sebenarnya amalan “pagar” rumah itu cuma sebuah istilah sahaja. Yang sesungguhnya kita meminta perlindungan mutlak dari Allah semata-mata melalui apa yang diajarkan Nabi S.A.W. Berikut merupakan amalan pagar rumah yang betul dan sesuai syariat.

  1. Bacakan surah Al Baqarah di dalam rumah tersebut.
    Daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda:
    لاَ تَجْعَلُوا بُيُوتَكُمْ مَقَابِرَ إِنَّ الشَّيْطَانَ يَنْفِرُ مِنَ الْبَيْتِ الَّذِى تُقْرَأُ فِيهِ سُورَةُ الْبَقَرَةِ
    Maksudnya: “Janganlah kamu semua menjadikan rumah-rumah kalian seperti perkuburan. Sesungguhnya syaitan akan lari dari rumah yang dibacakan di dalamnya surat al-Baqarah”
    Hadis Riwayat Muslim (780)
  2. Jadikan rumah tempat beramal ibadah, seperti solat, zikir pagi dan petang, membaca Al Quran dan seumpamanya.
  3. Sentiasa amalkan doa masuk dan keluar rumah, serta doa masuk dan keluar tandas yang sahih.
  4. Musnahkan dan buang segala bentuk azimat, wafaq, atau barang pusaka pemberian(cara pemusnahan mestilah dirujuk kepada mereka yang berpengalaman). Kerana dikhuatiri benda ini menjadi sarang bagi jin untuk menunggangi kepercayaan seseorang sehingga membahayakan aqidah. نَعُوْذُبِاللهِ مِنْ ذَالِكَ

Sekadar itu sahaja perkongsian ringkas saya tentang cara untuk “memagar rumah” yang sahih. Pastikan kebergantungan kita hanya kepada Allah semata-mata.

Ingatlah firman Allah dalam surah At Taubah ayat 51 yang bermaksud:
Katakanlah (wahai Muhammad): “Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah Pelindung kami, dan hanya kepada Allah orang-orang yang beriman harus bertawakal.”

Wallahu a’lam….

Kongsikan Post Ini